Saturday, September 15, 2012

Cinta Allah kepada hamba-Nya

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِاارَّحِيم 
In the name of Allah, the Most Gracious and the Most Merciful.

APABILA rakyat mencintai rajanya, hal itu perkara lazim dilakukan. Bagaimanapun, suatu hal sungguh menyentuh hati ialah apabila seorang raja mengasihi rakyat tanpa pilih kasih. Sanggup berdebu dan menjejak tanah, memberi apa diminta dan mendengar setiap rintihan dengan hati paling lembut kepada rakyat.
Begitulah cinta Allah kepada hamba-Nya. Maha Agung dan Perkasa itu mengisytiharkan kedudukannya yang amat dekat kepada hamba-Nya.
Firman Allah bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Sesungguhnya apabila Allah mencintai hamba-Nya, ia dapat dilihat dengan jelas dan dirasa melalui hati bersih. Ketika Allah mencintai seorang hamba, maka jatuhlah ke dalam hati hamba itu ilham suci yang membuat dia mengenali tanda kecintaan-Nya.
Ada beberapa tanda yang boleh dirasa oleh hati manusia antaranya:
Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila dia menjadi begitu berminat dengan ibadah. Adakalanya sesetengah orang berusaha sekuat-kuatnya untuk beribadah, hatta melebihi kapasiti diri sebagai insan lemah. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencintai Allah.
Tetapi ibadahnya seolah-olah kosong tanpa rasa, tawar tiada kemanisannya, semangat imannya maju dan mundur, turun dan naik, akhirnya tenggelam pula dipukul arus dunia. Ketika beribadah semestinya seseorang mampu menghadirkan keyakinan bahawa saat itu Allah mencintai dirinya.
Pernahkah kita menikmati sujud yang panjang sambil menghadirkan dalam hati bahawa saat itulah Allah mengisytiharkan nama kita sebagai orang dicintai-Nya?
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika Allah mencintai seorang hamba maka Ia berfirman: Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si polan maka cintailah dia.” (Riwayat Imam Ahmad)
Maka orang yang yakin bahawa Allah mencintai dirinya tidak pernah rasa was-was adakah ibadahnya diterima atau tidak? Jauh sekali rasa takbur kerana dia yakin yang menolongnya untuk melakukan ketaatan adalah Allah juga. Bukan kerana kehebatan dan kewarakan, melainkan Allah yang menuntun ke jalan takwa.
Kemudian dia sampai kepada satu makrifah mendalam mengenai Allah iaitu cinta Allah kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati ibu bapanya atau anak dan isterinya, kawan atau kekasih atas alasan tidak mendapat keuntungan daripada perhubungan itu. Tetapi cinta Allah kekal tidak pernah luntur walaupun dicabar oleh sepak terajang hamba derhaka.
l Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah. Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila dosa itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar.
Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji Allah Yang Maha Pengampun.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu Kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah al-Zumar, ayat 53-54)
Janganlah kerana dosa semalam seseorang menyangka Allah tidak sudi mendengar rintihannya, terputus tali langit di hatinya, tertolak segala doanya dan terusir dia daripada pandangan Allah.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah mengampuni mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Hamba yang taat apabila perangainya berubah menjadi iblis pun Tuhan tetap menunggu, di setiap malam rintihan hamba itu diintip hingga ia pulang kembali ke sisi-Nya.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tuhan kita turun ke langit dunia pada waktu malam tatkala tiba sepertiga malam yang akhir lalu berfirman: Siapakah yang berdoa kepada-Ku nescaya aku terima, siapakah yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri dan siapakah yang meminta ampun nescaya Aku ampuni.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Mengapa Allah masih mencari hamba-Nya yang jahat, membangkang dan suka berpaling dengan sombong? Kecintaan apakah itu yang boleh memaafkan sekeji-keji dan sehina-hina manusia? Betapa lembutnya Allah dan Maha Pengasih lagi Penyayang kepada makhluk-Nya.
Dengan cinta-Nya ditutupi segala aib hamba yang hina, memberi peluang berjuta kali dan menangguhkan seksa untuk tetap setia menunggu di langit dunia, bilakah agaknya hamba-Nya ini mahu membersihkan diri.
Saat Allah mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Di situlah Allah lenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka kemudian diganti dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita seeloknya selalu berbisik: “Aku tahu bila Allah mencintaiku, iaitu saat aku membenci segala kejahatanku.”
Tanda Allah mencintai seorang hamba ialah apabila dilapangkan dadanya menerima ilmu yang menjadi petunjuk ke jalan benar.
Allah tidak sesekali membiarkan seseorang insan terkapai-kapai dalam lautan dosa. Bahkan dikirim ke atas hati manusia petunjuk hidayah-Nya supaya manusia terselamat daripada gelombang keganasan dirinya sendiri.
Manusia dibekalkan hati, perasaan, akal dan fikiran untuk membezakan mana baik serta yang keji. Tidak cukup dengan itu, diutuskan juga Rasul, diturunkan al-Quran, dilahirkan pejuang agama-Nya terpilih untuk menerangi kegelapan seraya berdakwah fisabilillah.
Allah juga menjaga pusaka peninggalan Rasul iaitu ilmu Islam, menjaga al-Quran daripada pencerobohan manusia dan mewariskan sunnah Rasul-Nya supaya menjadi ikutan.
Baginda SAW bersabda bermaksud: “Apabila Allah mencintai seseorang maka ia membuatnya faham mengenai agamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sunday, September 2, 2012

Mengejar Syurga Atau Redha Allah? Tepuk dada tanya iman..

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِاارَّحِيم 
In the name of Allah, the Most Gracious and the Most Merciful.




Alhamdulillah segala puji bagi Allah kerana masih memberi peluang untuk menambah amal ibadah, supaya ibadah kita dalam apa jua perkara hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda..santai minda koreksi diri muhasabah amal, tingkatkan prestasi ibadah agar kecemerlangan yang dikecapi seiring dengan reda Allah SWT. 

Sudah namanya manusia perlu sentiasa diberi peringatan. Kejayaan, kecemerlangan, kekayaan atau kesenangan yang anda kecapi TANPA reda Allah SWT adalah sia-sia semuanya.Sekadar sebagai santai minda, refresh iman muhasabah amal.Entri kali ini mengenai ibadah kita kepada Allah SWT..antara mengejar syurga Allah dan reda Allah, mana yang lebih utama?(hah! jawab2..)


Persoalan yang sangat menarik penulis kira. Persoalan antara mengejar syurga Allah dan reda Allah adalah sesuatu yang mampu membuka minda kita di mana kita letakkan keutamaan dalam amal ibadah kita selama ini. Adakah untuk mengejar syurga Allah semata-mata kerana kita percaya dan yakin bahawa balasan yang akan kita terima di akhirat nanti adalah syurga. Bagaimana untuk mendapatkan syurga? sudah tentu dengan 'berkelakuan baik' di dunia.Persoalannya salah kah kita melakukan sesuatu dengan harapan mendapat syurga Allah dan kita beranggapan bahawa kita turut mencari reda Allah?

Pasti ada yang memberi jawapan, apabila kita mengharapkan syurga Allah kita sebenarnya mencari reda Allah.Sedangkan sahabat-sahabat Nabi dahulu juga dihidangkan dengan keindahan syurga dalam mereka berjihad menegakkan Islam.Adakah salah? sudah tentu tidak.Akan tetapi sahabat-sahabat nabi berlumba-lumba mengejar 'syurga' Allah bukanlah kerana keindahan syurga itu tetapi kerana rindunya mereka untuk melihat 'wajah' Allah. Itu perkara yang berbeza. Rasa rindu dan lazatnya untuk bertemu
Allah adalah bersamaan dengan mencari reda Allah.

Baik, penulis beri analogi yang mudah.Apabila kita mahu mengajar anak yang masih kecil berpuasa pasti kita sediakan ganjaran bukan? seperti hadiah atau wang tunai yang sekian jumlahnya sekiranya anak tadi boleh berpuasa penuh untuk satu hari.Sekiranya kita ingin memujuk anak untuk pergi ke sekolah kita akan menjanjikan hadiah sekiranya dia berkelakuan baik di sekolah.Orang dewasa yang bekerja juga pasti akan meningkatkan prestasi kerjanya jika bos memberi imbuhan kepada pekerja tersebut.Pendek kata manusia perlu diberi PENEGUHAN untuk merangsang melakukan sesuatu perkara.Adakah pembaca setuju?

Begitu juga kita. Dalam peringkat mengenal Allah pasti kita melihat ganjaran-ganjaran yang akan diterima seperti syurga. Baik, kita berbalik kepada mengajar anak berpuasa tadi,sewaktu kecil jika anak tadi mampu berpuasa sehari penuh akan di beri ganjaran berupa duit,adakah apabila sudah besar panjang atau dengan istilah lain dewasa/belia masih perlu di beri ganjaran duit sekiranya boleh berpuasa penuh? Kelakar bunyinya bukan.Tak selama-lamanya amalan berpuasa yang kita lakukan semata-mata untuk mendapat ganjaran duit,kerana kita tahu itu kewajipan kita. Kenapa dikatakan ia sebagai kewajipan kita? Kerana itu perintah Allah.Kenapa itu perintah Allah? Kerana ganjaran syurga bagi mereka yang melaksanakannya.Sahabat sekalian, ini adalah tahap harapan dalam ibadah orang yang awam.Orang awam bermaksud orang yang baru mencari atau orang yang baru mahu mengenal tuhan.Persoalan, adakah kita mahu amal ibadah kita sentiasa duduk ditahap orang awam? Penulis huraikan dalam bentuk soal jawab agar pembaca jelas mengenai perkara yang penulis cuba sampaikan.

Soalan: Kenapa ramai remaja, orang dewasa atau yang dah tua bangka di luar sana yang masih tidak berpuasa dan tidak malu untuk makan dihadapan khalayak ramai? Sedangkan itu adalah kewajipan sebagai umat Islam dan salah satu rukun Islam.Adakah tidak sempurna rukun Islam mereka?

Jawapan: Kerana mereka tidak 'dilatih' untuk mencintai ibadah berpuasa itu. Begitu juga dengan sembahyang yang lima waktu.Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang lainnya sehingga ke hal pentadbiran negara. Pendek kata mereka tidak mengenal diri mereka.Diri sendiri tidak kenal masakan boleh mengenal 'tuan' yang mencipta empunya diri.Apabila ada sesuatu perkara yang kita cintai,pasti kita akan melakukan sepenuh hati kita. Setuju?

Soalan:Jika begitu,adakah salah kita mencintai syurga Allah lalu kita menunaikan segala yang telah Allah perintahkan?

Jawapan:Nah! jawapan ada pada soalan yang ditanya. Mencintai syurga Allah dan mencintai Allah adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Soalan:Apa bezanya?

Jawapan:Syurga itu sebagai perangsang motivasi diri manusia untuk beramal ibadah.Jadi, tidak salah jika kita beramal untuk meraih syurga Allah.Tetapi jika hal ini dibahaskan oleh 'orang-orang makrifat', mereka melihat ianya sebagai syirik. Syirik yang halus kepada Allah swt. Kerana apa dikatakan syirik yang halus? Kerana amal ibadah di lakukan kerana cintakan syurganya bukan cintakan 'tuan' yang menciptakan syurga.Manusia dan syurga adalah 'perkara' yang Allah ciptakan.Persoalannya, wajarkah kita mencintai perkara yang sama-sama diciptakan oleh-Nya? Inilah perbahasan yang sering dibahaskan.Kenali dirimu nescaya kamu akan mengenal tuhanmu. Mudah bukan? Tetapi ramai yang gagal.Perhatikan alam kejadian pasti kamu mengenal tuhanmu. Ramai yang tahu akan hal ini tetapi sengaja ambil sikap tidak mahu tahu kerana larut dengan permainan duniawi yang melekakan lagi menyesatkan.

Oleh kerana itu kita disaran untuk muhasabah diri selalu,duduk berfikir, renung sedalam-dalamnya adakah benar-benar kita mencintai Allah SWT? atau hanya mengharap syurga Allah semata.Oleh kerana itu jika kita dalami benar-benar bacaan dalam setiap pergerakkan solat kita ia mampu menjadikan kita seorang hamba Allah yang sebenar-benar hamba Allah.Sesungguhnya ibadahku,hidupku dan matiku hanya kerana Allah.Tidak ada di situ ikrar kita sewaktu mula-mula mengangkat takbir mengatakan bahawa ibadahku,hidupku dan matiku hanya kerana mengharapkan syurga Allah. Nah! jelas sekarang bukan? Solat kita telah memberi jawapan pada persoalan di atas antara mencari syurga Allah dan reda Allah mana yang lebih utama.

Fikir-fikirkan, renungkan,sekadar santai minda,muhasabah amal,refresh iman sebagai cara untuk mengkoreksi diri menjadi hamba Allah yang sebenar-benar hamba.Wallahu a'alam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...